Thursday, October 9, 2008

Jadikan cara hidup sihat satu budaya baru - Perdana Menteri

Kerajaan yang semakin bimbang dengan tahap kesihatan dan kecergasan rakyatnya hari ini melancarkan kempen Malaysia Cergas dengan mesej Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya orang ramai menjadikan cara hidup sihat sebagai satu budaya baru.

Empat buah kementerian akan bergabung bahu bagi menggerakkan program di bawah Majlis Kecergasan Kebangsaan (MKK) dengan cogan kata berbunyi: Ke Arah Malaysia Cergas, Sihat dan Bersatu. Empat kementerian itu ialah Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional). Majlis pelancaran MKK oleh Perdana Menteri dilakukan serentak dengan pelancaran Kalendar Acara dan Program Hidup Sihat Tanpa AIDS Untuk Remaja (Prostar) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selepas ini MKK akan menjelajah ke seluruh negara menjalankan peranannya berkempen dan menggerakkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan kecergasan, pemakanan sempurna serta menjauhi gejala yang tidak sihat seperti seks bebas dan penagihan dadah sehingga dijangkiti HIV AIDS. Menyedari golongan remaja sebagai aset penting kepada masa depan negara turut mendorong usaha merancakkan semula Prostar dan ini dapat disaksikan menerusi Kembara Prostar ke seluruh negara bagi tujuan kempen menyedarkan mereka terhadap bahaya HIV AIDS tersebut.

Perdana Menteri berkata, tiada guna negara mempunyai rakyat yang cerdik dan pintar, tetapi berpenyakit dan tidak sihat akibat kurang cergas. Katanya, penjagaan kesihatan dan kecergasan diri adalah strategi membantu meningkatkan produktiviti negara. "Menjaga kesihatan dalam semua perkara berkaitan dengannya perlu dijadikan satu tanggungjawab kepada diri masing-masing sebagai satu budaya untuk mengekalkan kesihatan kerana tidak ada makna kalau badan kita lembik tidak sihat,'' tegasnya.

No comments: